SEJARAH TULISAN JAWI

Tulisan Melayu, Tulisan Jawi (توليسن جاوي‎, juga Jawoë Ac., Yawi Pat.), Abjad Jawi, atau Arab Melayu (Sumatera, KepRi, KalBar dan KalSel; adakala disingkatkan kepada عرمل‎ ArMel) bermaksud sistem abjad berasaskan tulisan Arab dengan beberapa huruf tambahan (yakni huruf Jawi) yang digunakan untuk menulis bunyi-bunyi asas dalam bahasa Melayu iaitu چ‎ ca, ڠ‎‎ nga, ڤ‎‎ pa, ݢ‎ ‎ga, ۏ‎ ‎va, danڽ‎ nya‎.[1][2][3]

Tulisan Jawi merupakan satu daripada dua sistem tulisan rasmi di Brunei, dan juga dijadikan sistem tulisan alternatif di Malaysia. Dari segi penggunaannya, tulisan Jawi dahulunya merupakan abjad piawai bahasa Melayu tetapi sudah diganti oleh abjad Rumi, maka penulisan Jawi hanya terhad kepada kegunaan dalam hal ehwal keagamaan dan kebudayaan. Penulisan Jawi seharian dipelihara di kawasan-kawasan yang diduduki masyarakat Melayu yang lebih konservatif, misalnya Sulu di Filipina, Pattani di Thailand, Kelantan di Malaysia[4] dan beberapa kawasan petempatan Melayu di Indonesia.


Sejarah awal

Bukti bertulis mengenai Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi.

Tulisan Jawi telah wujud sejak sekitar tahun 1300 M di Kepulauan Nusantara. Perkembangannya berhubung kait dengan ketibaan Islam, khususnya daripada orang Parsi. Abjad Arab yang diperkenalkan ini diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan. Tulisan Jawi ditulis dari kanan ke kiri, dan ditokok dengan 6 huruf yang tiada dalam bahasa Arab, iaitu چ‎ (ca), ڠ‎ (nga), ڤ‎ (pa), ݢ ‎(ga), ۏ ‎(va), dan ڽ (nya‎). 

Tulisan Jawi berpunca daripada kesusasteraan Arab yang diperkenalkan oleh orang Parsi kepada Kerajaan Melayu Jambi yang terletak di utara Palembang, Sumatera, Indonesia, dan bertutur dalam bahasa Melayu klasik.[7][8][9] Barangkalinya, mereka yang memeluk agama Islam memilih untuk menulis dalam abjad Jawi kerana ia berhubungkait rapat dengan kebudayaan Islam, daripada menggunakan tulisan Jawa yang diterbitkan daripada sistem-sistem tulisan yang digunakan di kawasan-kawasan beragama Hindu atau Buddha di Asia Selatan. Nama "Jawi" dinasabkan kepada Jawa, bak hujah sesetengah ilmuwan.[10] Bagaimanapun, oleh sebab tidak banyak ditemui meskipun memang pernah digunakan di Jawa, kemungkinan besar perkataan Jawi ini merupakan gelaran am bagi kawasan di bawah penguasaan atau pengaruh Jawa.[11] Selain itu, nama Jawi itu mungkin berpunca daripada kerajaan Javaka kuno yang merupakan pendahulu kerajaan-kerajaan Majapahit dan Srivijaya yang pernah menjalin hubungan dengan saudagar dan mubaligh Arab.[12]

Tinggalan tulisan Jawi purba yang terawal ditemui pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 M (702 H) dan juga Syair Bidasari tulisan sekitar 1300–1399 M yang ditemui di Sumatera,[13] sementara penggunaan terawal abjad Rumi untuk bahasa Melayu datang dari akhir abad ke-19.


Penyebaran dan perkembangan tulisan Jawi

Tulisan Jawi berkembang pesat sejajar dengan penyebaran Islam, setelah bangsa Melayu mendapati bahawa tulisan Pallava yang digunakan mereka selama ini tidak sesuai sekali sebagai wahana penyebaran perihal agama baru ini. Orang Melayu memandang tinggi tulisan Jawi sebagai gerbang kepada pemahaman Islam dan kitab sucinya, al-Quran. Penggunaan tulisan Jawi merupakan faktor utama yang memangkin kebangkitan bahasa Melayu sebagai serantau di samping penyebaran agama Islam. Tulisan Jawi digunakan secara meluas di negeri-negeri kesultanan Melaka, Johor, Brunei, Sulu, Patani, Acheh dan Ternate seawal abad ke-15, untuk tujuan surat-menyurat diraja, titah-perintah, puisi dan juga kaedah perhubungan utama sesama saudagar di pelabuhan Melaka. Ikhtisar-ikhtisar perundangan purbakala seperti Hukum Kanun Melaka dan bahan-bahan terbitannya, termasuk Hukum-Hukum Kanun Johor, Kedah dan Brunei semuanya ditulis dalam Jawi. Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi merupakan bahasa perantaraan seluruh lapisan masyarakat, baik para raja, bangsawan, ilmuwan agama mahupun orang keramaian, di samping menjadi lambang tradisi kebudayaan dan tamadun Melayu. Proses pengislaman rantau Melayu telah melariskan abjad Jawi sebagai sistem tulisan yang paling berkuasa.

Sebagai contoh, surat-surat diraja ditulis, dihiasi dan disampaikan dengan penuh istiadat. Contoh-contoh surat diraja yang masih terpelihara ialah surat antara Sultan Abu Hayat dari Ternate dan Raja João III dari Portugal (1521); surat daripada Sultan Iskandar Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England (1615); dan surat daripada Sultan Abdul Jalil IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari Perancis (1719). Kebanyakan karya sastera baik hikayat, puisi mahupun prosa bertulisan Jawi. Ia merupakan kemuncak tamadun Melayu klasik. Antara karya-karya epik bersejarah yang dikarang oleh orang Melayu dalam tulisan Jawi termasuk Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang tersenarai dalam Kenangan Dunia oleh UNESCO, dan puisi-puisi Sufi karya Hamzah Fansuri antara lainnya yang menyumbang kepada kekayaan dan kedalaman tamadun Melayu.

Sewaktu zaman penjajahan, tulisan Jawi masih menguasai Kepulauan Melayu, terutamanya dalam bidang sastera dan kesenian, teologi, falsafah dan mistik Islam, perdagangan, dan juga perundangan negeri. Tulisan Jawi merupakan abjad rasmi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sewaktu zaman naungan British. Apatah lagi, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Bagaimanapun, salah satu kelemahan utama amalan penulisan Jawi ialah ketidakseragaman sesama pengguna dari segi ejaan, yang mana menurut Pendeta Za'ba, "kebiasaan penulis-penulis yang ramai ... ada banyak tentangnya yang berlain-lain pada lain-lain orang",apatah lagi terdapat ketidaksepakatan sesama kamus-kamus bahasa Melayu yang sedia pada zaman dahulu. Hal inilah yang mendorong beliau untuk menggubal satu sistem ejaan Jawi yang baru pada tahun 1938.


Penggunaan zaman kini

Semenjak tulisan Rumi semakin bertapak di dunia Melayu, tulisan Jawi kini dipelihara terutamanya untuk wacana keagamaan dan kebudayaan Melayu di negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pahang dan Johor di Malaysia, Patani di Thailand,[14] dan juga Sulu dan Marawi di Filipina. Pelbagai usaha dijalankan untuk menghidupkan kembali tulisan Jawi di Malaysia dan Brunei disebabkan peranannya yang penting dalam lingkungan budaya Melayu dan Islam, misalnya "Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan" sebagai ganti ejaan Za'ba yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986.Tulisan Jawi juga kelihatan di muka belakang wang kertas Ringgit Malaysia dan Ringgit Brunei.

Mengimbau kembali akar-umbinya di zaman kerajaan Majapahit,Indonesia kurang berminat dengan tulisan Jawi yang dipandang oleh masyarakat setempat sebagai "kampungan" dan tidak seanggun, seindah dan semasyhur tulisan Jawa.[23] Walau apapun, tulisan Jawi masih digunakan secara meluas di madrasah-madrasah tradisional di seluruh Jawa, tetapi dalam bentuk lainan yang bernama Pegon.

Adanya perasaan gusar yang dirasai dalam sesetengah lingkungan mengenai keadaan tulisan Jawi yang dianggap "tenat" dari segi pengutamaannya dalam penggunaan seharian;, pakar bahasa dan persuratan Melayu daripada Universiti Kajian Luar Busan, Prof Dr. Kang Kyoung Seok ada berkata dalam suatu wawancara dengan Utusan Malaysia pada 2012; "Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan Jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?"

Di Malaysia

Tulisan Jawi tidak sahaja menjadi kebiasaan dalam papan tanda perniagaan serata negeri Kedah di Malaysia,malah mendapat sokongan daripada kerajaan negeri tersebut sebagai suatu cadangan disyorkan dan diwartakan dalam undang-undang negeri Kedah. Bahkan, terdapat juga permintaan yang tinggi dalam menerapkan tulisan Jawi dalam periklanan serata negeri Kedah.

Kota Kuantan di negeri Pahang memperkenalkan pelaksanaan mewajibkan tulisan Jawi (mendampingi tulisan lain seperti Rumi dan Cina) pada 1 Ogos 2019  atas titah cadangan Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut memangku kerusi Yang Dipertuan Agong pada ketika itu; arahan ini kemudiannya diluaskan ke seluruh negeri Pahang bermula pada 1 Januari 2020.  Pelaksanaan ini dilakukan secara berperingkat membenarkan pelekat sebagai bahan perumah sementara sebelum penukaran papan tanda pada lain masa sempat,pengabaian undang-undang ini akan dikenakan denda maksimum RM250 serta juga penarikan lesen perniagaan sekiranya pelanggaran berterusan. 

Di Indonesia

Tulisan Jawi diiktiraf secara serantau di kawasan-kawasan berpopulasi suku yang menggunakan tulisan ini menulis bahasa ibunda baik termasuk dialek Melayu serantau (seperti provinsi Riau, Kepulauan Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bangka Belitung, Kalimantan Barat dan Sumatera Utara), bahasa Aceh (Aceh), bahasa Banjar (Kalimantan Selatan) dan Minangkabau (Sumatera Barat).[33][34] Namun, "Aksara Latin" masih merupakan tulisan rasmi untuk perhubungan peringkat nasional di Indonesia.


0 Comments:

Post a Comment